Showing posts with label batu serai. Show all posts
Showing posts with label batu serai. Show all posts

Friday, November 22, 2019

Batu Senduduk

Rupanya dari pokok senduduk juga boleh dapat batu permata.

Di bawah ini ialah rupa pokok senduduk yang dah siap berbunga.



Kelmarin, telah datang satu pasangan ini ke kedai kami. Sembang punya sembang maka keluarlah cerita mengenai batu pokok senduduk ini. 

Rupa batunya seperti gambar di bawah ni.



Kalau dilihat sekali lalu rupa potongannya sama macam batu serai yang biasa ditarik orang seperti yang saya ceritakan sebelum sebelum ini cuma bezanya menurut kata pemilik tadi, batu senduduk nampak lebih berkilat walaupun saiz dan potongan nampak sama.



Namun begitu, tidaklah dapat saya nak mengesahkannya walaupun batu tu ada depan mata sebab saya tak ada batu serai (yang ditarik) bersama  sama saya untuk dibuat perbandingan.

Dari sudut warna batu batu senduduk ini, saya bersetuju kalau kita nak katakan ia cantik. Warnanya agak terang dan potongan batunya agak baik sebab boleh nampak pantulan cahaya yang berkaca kaca. 

Kalau dijadikan barang perhiasan, ia tetap cantik untuk dipakai cuma perlu pandai untuk menggayakannya. 

Apa yang pasti cerita bagaimana nak dapat batu batu ini adalah lebih menarik lagi. Kita akan ceritakan pula di catitan akan datang.

Wednesday, December 21, 2016

Cerita Tentang Berlian

kredit atas gambar pinjaman 

Izinkan saya berkongsi sedikit komunikasi saya yang saya fikir baik sebagai satu maklumat. Sebelum itu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Pun M yang bertanya kerana soalan yang diajukan sangat baik dan berbentuk ilmiah.

[6:38PM, 26/01/2015]
Salam En. Naha. Saya sudah lama mencari cincin permata biru dan dalam pencarian saya itu, terjumpalah batu serai. Melalui Google saya dapat tahu Batu Serai asalnya dari pokok Serai. Betul ke? Atau sebenarnya batu sintetik macam Cubic Zirconia? Satu lagi,  boleh encik whatapps saya gambar stok cincin wanita yang berbatu biru? Kalau ada yang saya berkenan, bolehlah saya singgah beli. Sudah lama saya mencarinya..

[6:38PM, 26/01/2015]
 naha mz: Waalaikumsalam.
Terima kasih kerana sudi membaca Blog saya itu.

Mengikut jalan yang diceritakan batu serai dapatnya hasil dari mencabut pokok serai wangi yang sedang berbunga. Namun proses mencabutnya perlu dilakukan dengan beberapa amalan tertentu serta bersyarat. (Kita tangguhkan perbincangan ini ya)

Dari sudut nilai perbatuan, batu serai hanyalah dari jenis kaca, malah ia tidak tergolong dalam kumpulan sintetik. Menariknya, batu serai yang terdapat di pasaran ini datang dalam pelbagai warna dan cantik. Sesetengahnya mempunyai kilauan yang tinggi. Satu yang pasti, setiap batu serai yang dimiliki itu mempunyai cerita unik yang tersendiri dan itu lebih tak ternilai berbanding harga yang dipamerkan.

Kisah Batu Serai boleh dibaca disini : http://towkeyemas.blogspot.my/2008/09/batu-serai-1.html

Mengenai batu nilam pula, saya ada beberapa stok, insyaaAllah akan kita wassapkan.

CikPuan M boleh singgah pada bila bila masa dan tak perlu tunggu rasa berkenan dulu. Untuk CikPuan M, izinkan kami lakarkan dan buatkan satu cincin biru mengikut citarasa cikpuan sendiri. Biarkan orang lain pula yang ingin meniru design yang cikpuan M ilhamkan.

Kami yakin design yang datang dari hati sendiri itulah yang kekal dipakai bila siap nanti.. insyaaAllah.


[6:39PM, 26/01/2015]
Ok. Jadi, Batu Serai dari jenis silika lah ye? Bagaimana dengan Batu "Kulit Berlian"? Adakah itu hanya sekadar nama atau memang datang dari sebahagian berlian?


Menarik soalan ini.

Berlian ni datangnya dalam bentuk kristal seakan akan 2 bentuk piramid yang bercantum bahagian dasarnya. Namun, ada juga keadaan, dimana bentuk aslinya tidak mengikut sistem bentukan kristal sebagaimana biasa.


Image result for intan
gambar Berlian asal dipinjam dari batucincinakik.com
Bila dipotong mengikut bentuk yang dikehendaki, biasanya akan ada lebihan 'terbuang'. Ini yang dikatakan kulit berlian. Bagi tukang potong yang handal, lebihan ini pun boleh dicanai lagi untuk dapatkan berlian halus yang cantik.

Zaman dulu, kulit berlian ini adalah yang dipanggil "intan". Cuba perhatikan cincin orang lama, berliannya nampak macam berkeping keping atau kadangkala seketul seketul. Kurang berkilat serta kurang menyinar kerana tidak diberikan potongan berseginya, namun ia tetap lebih berharga dari kaca. Kulit berlian dan intan bagaimanapun, kalau diuji secara saintifik, sepatutnya dapat memberikan bacaan sama seperti bacaan sebutir berlian juga.

Salam hormat
Naharuddin Mohd Zain
Krafdunia Design
013 274 8495
naha_mz@yahoo.com

Friday, May 4, 2012

Bersih - Dari sudut Batu Permata

Bersih dalam istilah batu ialah kelihatan jernih, tiada kekotoran seperti bintik bintik hitam, rekahan dan warna yang sekata keseluruhannya. Dalam istilah penilaian Permata Berlian ianya dinilai dalam kategori Clarity. Rata rata, batu serai memang bersih. potongannya baik, warnanya baik, kejernihannya juga baik yang secara logiknya boleh meletakkan batu ini pada kedudukan tertinggi dalam senarai batu permata, namun tidak begitu. Kadangkala 'Terlalu Bersih' itu belum tentu menggambarkan keaslian sebenar setiap batu permata. Perhatikan Batu citrine atau nama dalam bahasa melayunya Batu Cempaka. Ianya tidak terlalu jernih, terdapat sedikit kekotoran dan warnanya juga tidak sekata. Selalunya orang akan lebih mudah percaya akan keaslian batu ini apabila "Boleh Nampak!" kesan kesan batu. lihat pula batu Yellow Sapphire atau Safir Kuning atau Nilam Kuning di bawah; Gambar dipinjam dari venusjewellers.in. Kelihatannya sangat jernih dan tiada kekotoran langsung tetapi cuba perhati satu kelompok cahaya terang di tengah tengah batu. Ini menandakan bahawa bahagian bawah batu ini telah dipotong terlalu nipis menyebabkan cahaya 'bocor' dan nampak tembus hingga kebawah. Keaslian batu ini membolehkan ianya terus dijual walaupun mungkin kelihatan nipis. Ia masih berharga kerana batu asli ini tergolong dalam kumpulan batu 'precious' atau batu 'bernilai', yang dipanggil juga batu 'Mulia' di Indonesia. Walaubagaimanapun jangan pula kita salah anggap dengan batu yang kelihatan bersih teramat sangat ini seperti gambar cincin diatas. Ianya cincin batu Nilam Kuning yang asli diikat dengan emas dan disulami dengan berlian. Batu seperti ini amat 'rare' atau jarang dapat, bukan tiada. Harganya sudah pasti sangat menawan cuma bagi yang berminat hendak memilikinya, tolong, saya ulangi toooloooooong.. jangan lah cari dari penjual di kaki lima. Dapatkanlah di kedai emas atau kedai permata. Ujilah pengetahuan penjual terlebih dahulu, dapatkan penerangan tentang batu dari mereka dengan jelas. Biasanya bagi penjual yang baik, mereka sayang dengan batu permata yang mereka ada dan cara 'handling' atau kendali batu permata ini amat ketara tertibnya, Insyaallah tuan puan akan dapat nilai terbaik darinya.

Saturday, May 23, 2009

Dah..... bukan Batu Serai lagi ropanya..


Cincin Batu Serai (ikat Perak)

Saya berjumpa dengan seorang kawan baru dan kami bersembang pasal batu2 lah, apa lagi kan. Cerita punya cerita sampailah ke topik Batu Serai. Tetiba je dia berkata, "Yang orang dok crita pasa tarik batu kilat2 dari pokok serai tu semua PEMBOHONG!" Peeeergh.... berdesing telinga saya. Susah payah saya nak belajar dan cari cerita pasal batu serai ni dari kawan2, sedap2 mulut dia aje kata kawan2 saya pembohong.

Tanpa mahu menyinggung kawan baru ni sebab dalam hati berkata tentu ada alasan istimewa, saya bertanya "Wah! mesti ada kisah bagus ni, abang dah cabut pokok serai lepas tu dapat bende lain ke?" jeng jeng jeng kata hati saya sambil menunggu jawapan.

"Aku tak cabut puuuun... cantik aje dia diam kat tepi batang pokok tu. tak yah tunggu tengah2 malam panggil orang jampi2 aku ambik sendiri aje... senang, takde batu2 de." Puh! lagi hebat, semua sebat sendiri, kata hati saya lagi. "Habis tu, abang dapat apa?" tanya saya, dah mula tak sabar.

"Aku dapat EMAS". jawab brader tu.

contoh gambar Syilling emas (Gold coin)

"Haaaaah!, biar betul, berapa biji?" tanya saya lagi. "Eh! silap berapa ketul". saya cuba membetulkan pertanyaan, sebab biasanya kalau orang cerita batu serai semuanya biji2 atau butir2, ini kali lain pulak.

"Berapa ketul?.... jongkong! 6 semua sekali" pantas sahaja dia jawab balik. "Aaaaaah!...." saya jerit, "takde lagi ke, bagi la saya satu", secara spontan saya bertindakbalas bila dengar apa yang dia cakap.


contoh gambar Jongkong Emas (Certified gold bar)

"Bagi kat engkau,... buat hapa, baik bagi bini aku, lagi baik". Tambah dia lagi, "Aku ada 2 bini tau tak, satu kat sini, satu lagi kat Siam, orang Siam sana, berguna jugak dapat jongkong emas tu".

Termalu jugak saya, tapi nak tau banyak lagi, terus tanya sebab macam percaya tak percaya la pulak. "Emas betul ke ataupun emas tipu2 bang, mana ada benda macam tu, rupa dia macam jongkong yang kita tengok dalam televisyen tu ke."


"Engkau tak percaya tu kau punya pasal la, yang penting emas tu betul, rupa dia tak la cantik kilat macam dalam TV tu, tapi macam jongkong yang orang dah guna, aku dah jual pun satu, dapat la puluh ribu sebatang tu, 5 lagi bini aku kat Siam simpan, bini sini tak tau".

contoh gambar jongkong emas tanpa piawaian (gold bar)

"Ishh ishh, percaya abang yang jauh tu, yang ada kat sini abang tak bagi, nanti dia jual habis baru tau." Saya mengusik brader tu.

"Apa pulak, duit tu aku bagi bini yang kat sini la untuk dia buat belanja, yang kat Siam tu simpan je, lagi pun emas tu aku dapat kat Siam jugak. Belanja kat Siam tak banyak, tapi kat sini tinggi, cukup la belanja buat masa ni."

"Itu pasal la aku kata orang yang cabut tengah2 malam tu pembohong, dapat batu kecik2, jual kat orang mahal2, kaca pulak tu." Abang tadi menambah. "Pasal apa nak buat tengah2 malam... kalau betul ada, cabut la siang2 hari buta, biar orang tengok betul ke tak betul" tambah abang tu lagi seolah2 melepas geram nampaknya manakala saya cuba nak jadi pendengar yang baik kononnya, sambil menyampuk, "Eh .. itu lain, dapat batu, cantik2"

"Takde de lain de, kalau betul, takyah jampi2, terus je cabut, macam aku ni, korek tepi pokok je, itu pun siang2 hari lepas Asar, apa kau nak cakap?" dia sergah saya.

"Ya lah bang, apa2 lah, lain orang lain cara, lain orang lain anugerah dia kan? (konon2, nak cuba berlindung), takde ke lagi serpih2 yang nak bagi kat saya buat bukti ke apa2 ke,.. hehehe.." Saya cuba melawak.

"Kau dengar sudah, kalau ada rezeki kau, tunggu je lah nanti ya hahaha..." kata brader bertuah tu sambil terus berlalu.

Macam mana saya nak menafikan kalau memang dia dah dapat, dan dah tukar ke matawang. Ianya menjadi sebahagian dari pengalaman saya mendengar cerita2 pelik lagi menarik ini. Wallahualam.

contoh gambar Naget emas (gold nugget)

contoh gambar wafer emas (Gold wafer)

Sunday, February 8, 2009

Batu Serai (2)



Sambung lagi sikit pasal batu serai. Cantiknya batu serai ni sebab dia nampak berkilau2 bila kena cahaya samada lampu atau matahari. Segi2 batu tu buatkan pantulan cahaya memancar2.

Ada orang bertanya macam mana nak tau batu serai ni ori ke tidak. Entah la.. setakat yang saya tahu la batu serai ni dari jenis kaca, jernih dan bersih. Kalau kita guna teropong macam kat kedai emas pun, kita tak nampak kesan galian atau struktur pembentukan kristal dengan jelas. Bersih je batu ni.

Satu lagi kekerasan batu jenis kaca agak rendah, jadi kita boleh nampak kesan potongan pada segi2 batu ni yang agak tak tajam atau kemas, sebab kekerasan batu ni tak tinggi pada sekitar 3 ke 4 je, kalau ikut ukuran kekerasan batu kita boleh calarkan batu ni guna duit syilling. Kalau batu ni terjatuh atas lantai pun memang boleh pecah atau sempek sikit. Tapi takkan kita nak test batu ni dengan cara kikis pulak tentulah jadi tak cantik. Itu semua cara sains la. kalau nak canggih lagi kena la bawak ke Makmal batu baru la sah2 boleh tentukan batu serai dari jenis apa pula. Cumanya agak tak berbalui sebab batu serai tak ditawarkan harga yang tinggi.

Sesetengah orang kata untuk uji batu ni, kita boleh gesekkan permukaan dua butir batu serai bersama2. Bersihkan mula2 sekali pada muka atas batu serai tu pada bahagian muka yang paling luas. Lepas tu lekapkan dua permukaan batu tadi dan gesek perlahan2. Apa yang kita akan rasa ialah batu tadi seolah2 menarik antara satu sama lain dan kemudian melekat. Kita boleh jugak gesekkan permukaan batu serai tadi pada cermin yang rata, tapi jangan lupa untuk bersihkan dulu kedua2 permukaan. Batu serai ori tadi boleh lekat juga dan kalu batu tu masih belum diikat jadi cincin kita boleh tengok dia lekat kat cermin tu tanpa perlu dipegang.

Saya pernah lihat orang buat cara malah saya sendiri pernah cuba dan memang batu tadi melekat. Apa yang menariknya saya bukan saja buat pada batu serai yang "ori" iaitu saya pinjam kawan saya punya, tapi saya juga telah gunakan batu serai yang tak ori daaaaaan... lekat jugak. Saya gunakan batu lain yang agak rata jugak muka batu tu dan... lekat juge. he he he. Itu sains jugak la.. bila kita gosok permukaan dua batu perlahan2, dua permukaan tu jadi kosong atau hampagas jadi lekatkan kedua2 batu tu. saya tak pasti pulak tentang elektrik statik, mungkin ada sama untuk tambah kekuatan lekat tadi. Jadi kesimpulannya takde yang pelik. tengok batu tu cantik cukuplah.. nanti sambung lagi

Tuesday, September 16, 2008

Batu Serai (1)



Batu Serai adalah satu nama yang selalu disebut orang ramai bagi satu jenis batu permata kaca hiasan yang jernih berwarna cantik, kadang2 putih, berpotongan penuh dengan segi seginya cukup indah untuk pantulkan cahayanya. Asal nama Batu Serai ni sempena nama pokok serai, samalah macam Negeri Melaka dapat nama dia sempena pokok melaka dan Bandaraya Ipoh dapat nama sempena pokok ipoh.




Cara nak dapat batu ni agak menarik sebab kena buat beberapa aktiviti dan amalan tertentu atau ‘ritual’ dulu dan akhir sekali ialah mencabut pokok serai sambil melurut akar pokok tu serta menggoncang2 pokok tadi untuk menjatuhkan batu2 jernih lagi cantik tu. Itu pun bukan semua pokok serai boleh dicabut untuk dapatkan batu ni, hanya pokok serai berbunga aje yang layak untuk mengeluarkan batu. Ketat jugak syarat dia ni, kalau senang rasa2 nya penanam serai dah lama tukar kerjaya jadi penjual batu pulak. Takpun, kalaulah senang sangat nak dapat batu ni dalam batang serai yang biasa, agaknya dah ramai orang yang tertelan batu masa makan tomyam.




Ikut kata orang2 yang pernah cabut batu serai ni, kalau nak rasa lebih sensasi lagi paling bagus tadah dulu batu2 yang nak jatuh tu dengan mangkuk ayan sebelum dia jatuh ke tanah …puuuih!.. dengar batu tu jatuh ..kelentung! kelentung! Kelentung! ….BEST.. dia orang kata. Kalau dah jatuh atas tanah jenuh pulak nak mencari sambil menyuluh dalam gelap sebab proses mencabut ni dibuat waktu malam. Ya! MALAM, sebab itu sebahagian dari syarat.



Saya sendiri sebenarnya belum pernah la pulak buat mahupun ikut orang cabut batu serai jadi tak tahu keadaan sebenarnya walaupun saya ada juga menjual batu serai dalam bentuk cincin dan batu loose sebiji sebiji. Batu serai saya dari jenis ‘Batu Serai Tunjuk’ sebab saya cuma perlu tunjuk ngan jari je kat orang jual batu tu dan pilih mana mana batu yang saya suka ikut saiz dan warna minat saya.. ha.. ha.. Orang yang ikut mencabut batu serai tak boleh pilih pilih, kena redha je dengan apa yang dia dapat dan kekadang tu tak dapat langsung.





Antara ‘ritual’ yang biasa di buat sebelum proses nak cabut batu ialah yang pertama kena buat malam2 biasanya dalam sekitar 12 tengah malam keatas. Bukan boleh saja saja cabut pokok serai yang dah berbunga tu tapi ada proses lain yang dibuat lebih awal iaitu kenalah lepas sembahyang Isyak dulu. Lepas tu buat sembahyang sunat, macam macam sembahyang sunat yang pernah diceritakan kepada saya sampai saya pun tak ingat, (nanti bila dapat maklumat baru saya catitkan semula) diiringi pulak dengan bacaan zikir zikir tertentu. Selalunya jugak, yang nak mencabut batu ni kenalah orang yang arif lagi ‘warak’ dan jarang lah saya dengar dibuat sendiri. Orang yang ‘warak’ ni pulak yang menjadi tukang cabut dan jugak yang mengajarkan proses2 serta amalan2 sebelum upacara mencabut dilakukan. Dan….kebanyakan masanya tukang cabut tadi dibayar upah untuk menjalankan upacara mencabut batu serai ni. Tak free pun walaupun pokok serai sendiri punya. Sebab itu jugak banyak upacara mencabut melibatkan beberapa orang supaya upah tadi dapat dikongsi bersama…kasi kurang kos haaa.

Akhir sekali batu2 yang diperolehi bolehlah dibahagi2 sesama peserta yang terlibat dan ikutlah nasib masing masing, kekadang tu selepas dibahagi2 pun boleh dapat berpuluh biji, kekadang tu dapat sebiji je,… jadilah, kalau takde nasib bayar upah saje saje la nampaknya. Itupun mengikut cerita orang yang pernah tak dapat batu walaupun dah laksanakan semua ‘ritual’, puncanya sebab langgar syarat terutamanya semasa memasang niat, ikut tafsiran tukang yang ‘warak’ tu lah.

Batu yang dah dapat ni pulak kena ikat atau set kepada barang perhiasan untuk dipakai samada cincin, loket atau gelang atau apa apa saja (tang ni saya suka sebab saya boleh terima tempahan) dan tak boleh disimpan kosong untuk satu tempoh lama. Kalau tak dimunafaatkan batu tu boleh hilang begitu saje. Itu pun kata tok ‘warak’ tadi sebab tak rasi.. apa boleh buat cabut lah lagi. Lain kali panggil semula ‘ahlul cabut’ bila pokok serai dah berbunga.

Saya yang tidak arif tentang ilmu cabut mencabut batu serai ini tidaklah layak untuk komen banyak namun nak ambil kesempatan mengajak kita berfikir ngapalah perlu dibuat segala macam amalan sunat untuk tujuan lain selain kerana Allah sebab amalan2 sunat yang dilakukan dan diajar oleh Rasulullah itu sebenarnya dah cukup kukuh berdiri sendiri sebagai ibadat dan bukan dengan tujuan tertentu sebagai satu upacara dan ‘ritual’.