Wednesday, July 30, 2008

Terjun ke Training

Baru baru ni saya berpeluang mengendalikan satu kursus 'Team Building' bersama dua orang rakan saya di Sg. Sembilang Jeram Selangor. Seronok dan Alhamdulillah berjaya bagi saya dan juga peserta. Sebenarnya mengendalikan kursus adalah sebahagian dari kerjaya saya yang baru nak mekar.

Bende ni rupanya macam hidden talent yang tersimpan dan terungkai hampir dua tahun yang lalu kerana dua orang iaitu seorang rakan lama sewaktu sekolah dahulu, En. Chong namanya, dan kedua tentunya special girlfriend yang juga isteri saya sendiri.

Antara aktiviti kami adalah ceramah, latihan menurun tali, qiam bermula jam 5 pagi, larian berhalangan dan peperangan paintball. Tak lama cuma satu setengah hari satu malam sahaja.



Ini sewaktu suaikenal dengan para peserta. Apa kebendenya yang saya buat lawak masa tu saya pun dah tak ingat tapi gelak beso la sekejap.




Sewaktu kelas sedang dijalankan




Ini gambar pelakon lagak ngeri sebelum nak turun tali. Saya minta nak turun kepala dulu macam komando tapi dia orang tak bagi, takut jadi biawak komodo katanya. Lama tak buat rasa gayat jugak. Sebenarnya risau sebab baru tiga hari pulih dari vertigo yang sampai muntah sebelum tu. Ini adalah satu gangguan dalam gegendang telinga yang buat kita rasa pening dan berpusing pusing dan tak seimbang. Macammana pun kena buat juga sebab peserta kami dah perli perli je. Ceh! malulah kalau tunjuk penakut...he he he.




Ini masa spiderman dah nak sampai bawah dah. Cuba bayangkan jaraknya dan sekiranya ada yang rasa gayat, takut gemuruh atau apa apa perasaan tu memang bagus sebenarnya. Itulah naluri namanya, kalau takde nanti ramai yang nak terjun bunuh diri pulak.




Tengah stanby untuk terjun jadi superman sekejap pada jarak ketinggian 30 - 40 kaki lebih kurang. Ini sebahagian dari latihan kepada peserta kami bagi membentuk keyakinan diri disamping keseronokan. Posing maut punya sebab saya cuma tergantung dengan tali aje yang kononnya boleh tahan berat sampai 2 tan. Tawakkal je ni sebab nak tingkatkan konfiden peserta kami. Saya adalah orang yang pertama untuk acara ni.



Ini sample aje camamna saya 'terjun dan terbang' macam superman. Gambar orang lain sebab kamera bawak sekali untuk shoot gambar peserta lain pulak. Masa ni kamera duk dalam kocek seluar, mujur tak jatuh dalam kolam ikan 30 kaki kat bawah nu.




Ada macam macam pesen terbang paserta ni, ada yang cantik macam cerita wayang cina masa pahlawan tengah terbang, ada yang tegak macam kayu je, ada terjun cara duduk dan yang special terbang sideway. Dari mula peserta ni terjun jadinya melintang je sampai la kesudah.

Lain kali saya crite pasal paintball pulak.

Thursday, July 24, 2008

Batu kelahiran 2 - (Birth Stone 2) Delima/Ruby


Batu Delima warnanya merah, batu kelahiran untuk orang berbintang Leo, Scorpio, Capricorn dan Aries. Kelebihan batu ni mengikut orang dulu dulu digunakan bagi mengubati penyakit Gout. Zaman sekarang orang guna untuk membantu kelancaran darah, baik untuk kekuatan jantung dan menguatkan kelenjar adrenal iaitu kelenjar yang mengeluarkan rembesan perasaan gementar,suspen yang kadang kadang kita panggil kecut-perut. Ada lagi nak tulis tapi lain kalilah.

Tuesday, July 22, 2008

Tanduk Kambing Gurun...kot boleh buat batu cincin

Seorang sahabat datang bertanya samada saya berminat dengan kepala kambing gurun. Katanya mengikut kata orang yang mahir dengan ilmu pengubatan melayu, kepala kambing ni banyak khasiatnya. Selain dari daging yang ada di bahagian kepala tu boleh dimakan, lidah kambing gurun ni berguna sebagai penawar racun. Saya cuma ternganga mendengar penerangan kawan ni tadi.

Dalam tidak kepastian, ikut kata member ni, kulit serta tulang kambing gurun boleh diproses dan boleh dijadikan minyak urut juga sebab pernah ada orang cerita yang kambing ni kalau dicedeakan atau patah patah dia boleh mengubat diri dia sendiri dengan cara menjilat bahagian yang sakit tu. Itu la pasalnya lidah kambing dengan organ yang lain tu tinggi khasiatnya. Ini mengingatkan saya pada cerita burung 'Butbut'(betul ke ejaan dia) pulak.

Walau macamanapun sahabat saya ni tadi agak sependapat dengan saya bahawa ada banyak bahagian yang perlu dikaji dengan lebih teliti mengenai pengunaan organ kambing gurun sebagai bahan pengubatan sebab apa yang kami dengar cuma dari mulut orang sedangkan kajian sebenar lom lagi dibuat atau kalau dah dibuat lom lagi jumpa. Bila dah jumpa baru boleh cerita banyak banyak.

Sahabat saya ni masih lagi simpan 2 kepala kambing gurun dalam peti aisnya. Saya pulak cuma minat kat tanduk kambing gurun..kot boleh dibuat batu cincin.

Tuesday, July 15, 2008

Batu Kelahiran 1 (Birth Stone)

Rammaaaai orang bertanya pasal batu/kristal yang sesuai mengikut tarikh lahir. Tak kurang juga yang rasa seolah olah kalau pakai batu yang tak ikut tarikh lahir sebagai menempah kesusahan, boleh ditimpa musibah dan penyakit...he he he..silap tu.

Orang zaman dulu dulu percaya kononnya batu batu ni berasal dari cakerawala dan ada kaitan dengan planet planet di sekelilingnya. Dengan sebab tu makanya batu batu ni ada kuasa tersendiri lagi magik. Kalau kita pakai batu yang tepat dengan zodiak kita barulah nasib kita boleh berubah menjadi lebih baik lagi.

Ha ha yang menariknya pendapat ni berubah ubah pulak ikut masa, budaya,pendapat tukang tukang kaji bintang dan jugak tuan tuan tukang tilik dan jugak berbeza ikut negara ahli ahli ramal masa dolu dolu tu. Last….. sekali, lama lama semua orang dah macam sama sama sepakat nak gunapakai formula macam kat bawah ni :

Zodiak Batu/Kristal
Aquarius (Jan 20 – Feb 18) Garnet
Pieces (Feb 19 – Mac 20) Amethyst/Kecubung
Aries (Mac 21 – April 19) Bloodstone
Taurus (April 20 – May 20) Sapphire/Nilam
Gemini (Mei 21 – Jun 21) Agate/Akek
Cancer (Jun 22 – Julai 22) Emerald/Zamrud
Leo (Julai 23 – Ogos 22) Onyx/Baiduri
Virgo (Ogos 23 – Sep 22) Carnelian/Akek Perang
Libra (Sep 23 – Okt 23) Chrysolite, Peridot
Scorpio (Okt 24 – Nov 21) Beryl
Sagittarius (Nov 22 – Dis 21) Topaz
Capricorn (Dis 22 – Jan 19) Ruby/Delima


Lepas tu muncul la kepercayaan baru bagi orang orang lama ni untuk kaitkan dengan bulan kelahiran pulak. Di bawah ni dicatitkan kepercayaan kesesuaian batu/kristal untuk zaman moden ni mengikut bulannya.

Bulan:Batu Zaman Moden
Januari: Garnet,Rose Quartz
Februari: Amethyst/kecubung,Onyx/Baiduri
Mac: Bloodstone,Aquamarine,Tourmaline
April: Diamond/Berlian,Rock Kristal, Sapphire/Nilam
Mei: Emerald/Zamrud,Chrysoprase
Jun: Pearl/Mutiara,Moonstone/Baiduri Bulan, Alexandrite
Julai: Ruby/Delima,Carnelian/Akek perang
Ogos: Sardonyx,Peridot, Onyx/Baiduri
September: Sapphire/Nilam
Oktober: Aquamarine,Opal,Tourmalin
November: Topaz,Tiger’s-eye
Disember: Lapis Lazuli,Zircon


Haa itu lah dia info awal pasal batu kelahiran ni, tapi jangan la pelik kalau ada orang bagi tau batu kelahiran yang lain dan tak sama langsung dengan ada kat atas. Bagi saya ini semua hanyalah gimik pemasaran tapi kita masih boleh guna untuk bantu orang yang tak ada idea langsung tentang batu apa yang sesuai dipakai.

Monday, July 14, 2008

Batu pun nak makan...lapar agaknya...




Kawan lama saya datang menziarah di gerai promosi saya semalam. En M nama dia, orangnya saya lihat makin bertambah hansome dan menurutnya dia memakai sejenis rantai batu buatan yang dipanggil fir. Kebelakangan ini terlalu banyak batu batu buatan keluaran baru yang didakwa mempunyai kesan positif pada kesihatan ada di pasaran sampai tak tau mana satu yang terbaik. Yang pastinya sipemakai akan mengatakan yang jenis lain tu kurang baik dari yang dia ada. Apapun saya mohon maaflah dulu sebab saya lebih ke arah batu yang asli yang saya tengok sebagai satu seni.

Menariknya, En M ada sebentuk cincin bermatakan batu yang agak unik sebab ada lubang ditengah tengahnya. Batu ni berwarna kuning keperang perangan yang kata En M batu tu diberi oleh seseorang dan diperolehi dari dalam madu lebah. Amacam?..tak caya. Banyak dah saya dengar; batu dari dalam buluh, dalam kelapa, dalam buah delima dan macam macam adaaa... Batu En M ni cantik kaler dia, nampak lembut dan kawan saya ni percaya yang batu tu bawak rezeki.

Bab batu bawak rezeki ni saya terpaksa tolaklah dan saya cakap terang terang kat dia bahawa batu tu saya tengok cantik saja dengan khasiat yang dia ada oleh sebab getaran, warna dan mineral..itu saja. Bab bab rezeki ni adalah ketentuan Allah, pun ada setengah ulama kata, makanan yang masuk perut aje yang rezeki yang lain idak jadi kena sedekah banyak banyak. Kekadang dah masuk mulut pun boleh lompat keluar....ha ha ha, mana rezekinya!

Ramai juga dikalangan orang melayu kita yang agak ekstrim sampai percaya yang batu boleh jadi pelindung dan pendinding sampai percaya yang batu jenis berlubang ni kena dibagi makan. Orang orang yang taksub ni, dimasukkan beras kat lubang tu sebab batu tu hidup katanya. Pelik.. tapi benar sampai saya tanya orang yang bagi tau saya pasal kepercayaan ni " batu pun nak makan, ya bang..lapar agaknya" Astghafirullah... Saya tak boleh nak komen banyak pasal saya bukan ahli dalam bidang cam ni tapi saya faham sungguh la yang akidah kena jaga betul betul.

Apa pun saya sudi mendengar sebab seronok memerhati dan belajar dari orang orang yang banyak pengalaman pasal benda benda mistik ni sekadar pengetahuan. Asalkan tak menyalahi sudah la..yang terlajak tu undurlah semula.

Sunday, July 13, 2008

Mandi Air Rendaman Kristal..



Alkisah maka datanglah dua orang anak muda pangkat adik adik yang saya panggil Malik dan seorang lagi Wan. Kedua dua ni adalah penuntut di MSU (nama lamanya KUTPM) dalam jurusan Perdagangan Antarabangsa.

Malik ni agak berpengetahuan sedikit pasal batu batu kristal, hasil dari tunjuk ajar salah seorang pakcik dia seorang pemegang Ijazah Kedoktoran dalam bidang Pergubatan Akupuntur. Ikut cerita Malik lagi, pakcik dia ni seorang pengamal 'Feng Shui'. Hebat tak hebat pakcik Malik ni sebenarnya dia adalah seorang Jemaah Tabligh tetapi sedia menuntut serta mengkaji lagi tentang benda benda yang orang anggap menyalahi agama macam Feng Shui tadi tu lah.

Menurut pesanan pakciknya kata Malik lagi, batu kristal ni kalau direndam dalam air semalaman dan kemudian bawak mandi pagi esoknya... pergh!... sejuuuk dan nyaman sekali pak. Kata Malik lagi, boleh rasakan kesegarannya...waa cakap luuuu...kata dia. Saya lom cuba lagi la.

Malam tu saya bawak lah balik batu kristal terpilih sebab nak cuba bagai dikata. Garnet nama kristal tu dan warnanya merah hati, cantik lagi menawan. Menurut catitannya, batu ni bagus untuk orang lelaki..ehem. Saya tadah air satu besen penuh dan masukkan kristal Garnet tu dengan berhati hati...takut Aura dia hilang. Bila dah terendam kemas dalam air dan saya pun masuk tido. Malam tu hujan lebat pulak, wah! nyenyak betul dapat beradu. Esoknya bangkit pagi pagi terus nak cubalah mandi air rendaman kristal semalam. Cecah sikit air tu dulu dengan tangan..... argh... SEJOK GILER!.. Tang manalah pulak nyamannya air ni.... tak sempat saya nak rasa keseluruhan air sebesen tu, tangan saya dah pun bukak hot shower terlebih dahulu...he he.

Saturday, July 12, 2008

Gading Gajah dan Tanduk Kucing?......emm



Saya didatangi seorang gentleman berbadan sasa sewaktu di tapak promosi Kompleks PKNS Shah Alam baru sekejap ni. Biar saya namakan lelaki ni Bob lah. Biasa le..orang yang badan besar ni semua orang panggil bob, otomatik je. BOB singkatan kepada Badan Orang Besar kata Awie penyanyi kumpulan Wings dulu tu.

Anyway, specialnya Bob ni, dia ada dua barang unik iaitu rantai berbatu Akek yang diikat bersama dengan gading gajah berbentuk taring, kecik comel je. Satu lagi barang tu ialah tanduk kucing... TANDUK KUCING?. Ya, betul tanduk kucing, kucing hutan lagi. Sempat saya mintak kebenaran untuk ambil gambar, tu yang saya tunjukkan kat atas tu.

Hah..apa pulak keistimewaan benda ni. Ikut kata Bob gading gajah tu bagus untuk tingkatkan keberanian dan kekuatan dalaman. Dalam keadaan realiti memang dia dah jadi beranilah,.. dia kata. Dia suka berburu binatang jadi sure tak takut punya. Cuma...kalau kawasan tu ada gajah, gading tu tak boleh dibawak sama. Nanti teruk kawan yang bawak tu kena lanyak. Apa yang selalu Bob buat ialah dia tanam gading tu awal awal sebelum masuk ke hutan.

Kata Bob, gajah memang boleh hidu bau gading dari jauh. Pernah satu kejadian tu, dia gi memancing dan terlupa nak tanam gading tu dan apa yang jadi ialah dia diserang gajah. Mujur dia selamat tapi helmet yang dia pakai penyek kena pijak gajah sebab bau gading yang dia bawak dan bau badan dia ada kat topi tu. Tambah Bob lagi benda ni saintifik! kalau tak caya tengoklah Discovery atau Animal Planet pasal cerita gajah. Gajah akan ambik masa lama menghidu bau tulang tulang gajah yang dah mati kat tengah padang di Afrika tu. Macam logik jugak kan.

Tanduk kuching pulak untuk jadi kebal. Untuk barang yang sekecik tu pun katanya dah orang tawar nak beli, dan mintak Bob jual ngan harga RM8000 tapi Bob cuma katakan 'taknak'. Susah nak dapat pasal apa nak jual. Bob ni dah pernah tetak tangan dia dengan parang dan tak lut, katanya la. Saya tengok tangan yang ditakek tu tapi tak nampak apa apa bekas la pulak. Bila saya tanya siapa yang tetak, kata Bob dia tetak sendiri..... sindiri pikiaqlah. Kalau la saya diberikan tanduk kucing tu dan ditawarkan duit supaya cuba jadi stuntman untuk buktikan kekebalan saya.......SORI.

Friday, July 11, 2008

Orang Melayu vs Orang Melayu


Saya berpeluang menghadiri satu program dimana moderator menekankan banyak aspek penting dalam cubaan untuk mengenalpasti, merancang, mendidik, menjalankan aktiviti yang seterusnya diusahakan sehingga dapat mengubah orang melayu khasnya Islam ke arah yang lebih positif.

Yang membuatkan saya terharu ialah masih ada juga segolongan orang yang prihatin sehingga sanggup berkorban untuk memegang amanah Allah dan Rasul untuk memperkuatkan lagi keimanan orang melayu dan seterusnya membawa kepada kejayaan. Mereka ini berharap agar setiap yang hadir dapat bersama sama menjadi agen perubah kepada golongan golongan yang akan di kenal pasti itu nanti. Saya pulak dah perasan dan merasakan seolah olah saya antara yang terpilih atau the chosen one .

Anyway, yang ingin saya kongsikan bersama ialah apabila saya menerima satu email yang menceritakan tentang Hobi orang Melayu. Saya sertakan dibawah:

Subject: Apa Hobi Orang Melayu

Sajak Melayu : Malays Would Rather Have Pleasure Than Pressure

Di mana boleh cari ramai Melayu
Pastinya di Kelantan dan Trengganu
Dan juga di pasar malam dan pasar minggu
Di Akademi Fantasia dan Pesta Lagu
Di Jom Heboh orang Melayu berpusu-pusu
Di Sungai Buloh dan sebelum ini di Pudu
Dan di jalan, lumba haram tak buka lampu
Dan di selekoh duit rasuah depa sapu
Di pusat serenti akibat ketagih dadah dan candu
Di malam kemerdekaan dan malam tahun baru
Terkinja-kinja best giler menari macam hantu

Apa hobi orang Melayu
Terkenal dengan budaya malas dan lesu
Berlepak buang masa tak jemu-jemu
Atau baca majalah Mastika cerita hantu
Tengok telenovela dari Filipina dan Peru
Sambil makan junk food kacang dan muruku
Mana tak gendut berpenyakit selalu
Kalau nak berlagak melayu nombor satu
Asal bergaya sanggup makan nasi dan toyu

Boleh tak jumpa mereka di kedai buku
Atau di perpustakaan dan majlis ilmu
Atau ambil kelas kemahiran di hujung minggu
Ada tapi kurang sangat ke situ
Kenapa Melayu jadi begitu
Nak salahkan sapa ibubapa atau guru
Pemimpin negara atau raja dulu-dulu
Ayat lazim di mulut ialah malas selalu
Nak harap kerajaan saja bantu
Terutama sekali kontraktor kelas satu
Tak habis-habis gaduh nak jatuh sapa dulu
Dan suka sangat dengan budaya mengampu

Sampai bila kita nak tunggu
Bangsa Melayu jadi bangsa termaju
Boleh, dengan beberapa syarat tertentu
Pertama dengan banyak menguasai ilmu
Kata nabi ikutlah al Quran dan Sunnah ku
AlQuran yang diturunkan 1400 tahun dulu
tapi apakah yang kita tahu,cuma baca nak halau hantu

RENUNG2 KAN & FIKIRLAH ,
di mana tahta org2 Melayu yg disanjung selama ini
atau Melayu akan terus meLAYU


Saya merasa sedikit geram apabila memikirkan kerana sedang golongan yang pertama berusaha untuk mencari jalan yang terbaik kebanyakan dari kita hanya mahu bersajak maka saya terjawablah begini :

Benarlah gitu gayanya orang melayu,
Melukut di tepi gantang mengharapkan sesuatu,
Tapi sedihnya lagi pilu,
Dikutuk dicemuh memang selalu,
Oleh sahabat saudara sekutu,
Tiada cadangan boleh disetuju,
Hanya kiasan story dan buku,
Sekadar renungan fikiran yang buntu,
Lagilah malang disebar melulu,
Seolah melayu sebegitu sedari dulu,
Oleh itu rakan rakan ku,
Carilah kaedah untuk di paku,
Disemat di hati jasad dan kalbu,
Bersama sama kita berbantu,
Supayu melayu menjadi maju,
Bersama juga kita menuju,
Kearah agama bangsa dan negara yang direstu.


yang suka Emas..
he.. he..

Big Picture?



Baru balik diskusi pasal nak buat training untuk para belia. Kami berenam semuanya, mewakili 3 syarikat berbeza. Seronok jugak dapat input baru dan kaedah mengendalikan peserta dengan cara yang berbeza.

Salah seorang rakan menyatakan yang ramai orang lom dapat Big Picture lagi jadi dia akan bagi tau apa dia benda tu nanti. Tambah beliau lagi, bila dah nampak gambaran ni barulah kita bersedia untuk jadi orang lain. Menarik tuh! tapi jangan sampai bertukar jantina sudah. Saya pun tertunggu tunggu dan nak dengar apa yang nak dicakapkan. Alahai.. rupanya nanti, satu hari nanti. Takpe lah nanti bila dah dapat saya akan kongsikan bersama. Yang pastinya benda ni berharga macam emas jugak.

Monday, July 7, 2008

Masa Itu Emas?



Kelmarin saya baru balik dari menghadiri satu kursus selama 3 hari 2 malam. Dah lama tak ikuti kursus, selalunya saya yang bawa ini kali ikut pulak. Seronok jugak dapat jumpa kenalan baru serta berkongsi benda baru.

Yang menarik sebagai catitan ialah apabila moderator meminta semua peserta menulis di atas kertas mengenai JTM masing masing. Apa bendanya tu? JTM tu maksudnya Jangka Tarikh Mati. Wah! complicated ni, mana ada orang yang tahu bila nak mati...mungkin ada la, macam orang yang kena hukuman gantung sampai mati ke, orang sakit yang doktor kata tinggal beberapa hari lagi ke. Itu pun tak tentu lagi sebab boleh jadi dapat pengampunan Agung dan yang sakit pun boleh sembuh, semuanya dengan izin Allah.

Anyway, dalam ramai ramai tu lebih kurang 80 peratus termasuklah yang nampak macam ustaz ustaz pun menulis tarikh JTM masing masing dengan tak confident nya. Mungkin akibat didesak sangat sangat oleh moderator manakala yang selebih tu tulis macam macam seperti; bila sampai ajal, tak tau, hanya Allah yang mengetahui..dan macam macam lah. Ana pun thulis juga la , bukan angka tapi perkataan yang hampir hampir sewaktu dengannya. Semuanya tadi dikumpul dan kemudian dibacakan satu persatu oleh moderator tadi.

Akhir sekali selepas habis semua dibacakan, moderator tadi pun mengulas...katanya, tujuan beliau menanyakan tarikh ni bukan sebab apa cuma untuk kita sedar bahawasanya tarikh sebenar JTM kita ialah DNM iaitu singkatan kepada Dah Nak Mati. Bila bila masa boleh mati. So...kalau macam tu tanyalah diri kita samada kita dah buat the best sebelum betul betul mati dan sebab itu bagi beliau lagi ungkapan 'masa itu emas' dah patut kena tukar kepada 'Masa itu nyawa'. Dah tak ada masa dah.....

Tuesday, July 1, 2008

Permata Kecubung (Amethyst)



Hari ni nak cerita sikit pasal permata atau batu Kecubung, nama omputih dia Amethyst. Batu ni warna dia ungu, kekadang pekat dan ada jugak yang agak cair. Kalau kita biasa gi kedai kistal kadang kadang kita boleh tengok ada sejenis batu yang bentuk dia macam gua dan berwarna ungu. Haa..itu lah dia kecubung. Ada kesan tu pada yang memakai atau paling tidak letak kat dalam rumah. Kadang tu ada jugak dalam bentuk pokok.

Permata kecubung atau amethyst berfungsi baik kalau ada pening pening, sakit kepala dan kalau ada migrain pun boleh jugak. Terapi warna batu permata kecubung ni, warna ungu lah, sesuai untuk bahagian kepala dan jugak saraf yang menghala ke otak. Ia bagus untuk kekuatan minda, tingkatkan daya ingatan dan jugak dapat redakan fikiran yang kerap aje celaru.

Permata amethyst ini dapat legakan tekanan darah dan yang ada tekanan darah rendah tu boleh la cuba. Jadi secara langsung dapat legakan stress dan ketegangan. Kalau ada rasa sengal sengal pada saraf tu pun baik jugak cuba. Permata amethyst jugak membantu menguatkan kelenjar, hormon dan mengalakkan proses metabolisma tubuh. Eh ada lagi,.. permata ini baik untuk pengidap sakit kencing manis jugak.

Kalau ikut pada yang lepas lepas, permata ini dapat jugak melegakan kepenatan . Selalunya penat penat ni bawak pada susah nak tidur atau kata omputih ’Insomnia’, pun boleh jugak. Permata ini jugak kita percaya dapat membantu beberapa penyakit yang ada kaitan dengan darah macam tekanan darah rendah dan anaemia.

Ada jugak penyakit lain yang boleh bertindak balas dengan baik ngan batu permata amethyst ni macam ketagihan; rokok ke, arak ke, radang kulit, ulcer, buta warna, eczema, dan halusinasi.

Ha..cam tu lah lebih kurang. kalau ada yang tau lebih lagi boleh tambah...