Showing posts with label Kristal. Show all posts
Showing posts with label Kristal. Show all posts

Thursday, November 21, 2019

Panduan Memilih Batu Permata level 1.0

Memilih batu permata asli
Alhamdulillah.. terima kasih. itulah ungkapan sorang pakcik tu kat saya. Pakcik ni datang sebab nak cari batu permata asli dan nak tempah buat cincin sekali.

Bukan lah besar mana pun yang saya buat cuma saya bagi info sikit kat pakcik tu macamana nak beza batu asli dengan yang bohong bohong punya tu.

Ni saya nak kongsi sikit cara kenal batu level 1.0 punya standard lah dulu.


Cer tengok cincin kat gambau pertama tu. Apa yang comey dengan cincin  batu ni? Cer tengok sekali imbas lah.. cantik kann.. 

Baik.. skrang tengok pulak gambau sebelah. Kita dah letak cincin atas muka lampu suluh. Tengok baik baik. Ada nampak buih (gelembung udara) tak?



Gambau ketiga tu kita besorkan sikit  betul betul kat belah yang nampak buih tu.



Haaa.. kalau nak beli batu, mula mula sekali elak dari beli batu yang ada buih. Itu batu buat tu. Dia mengeras cepat sampai buih tak sempat nak keluor dari acuan. Itu tanda awal yang batu tidak asli dari bumi. *

Dapat dah kan? Ada orang boleh jadi tak kisah asal cantik je.. takpe, buleh saja. Tapi ramai jugak yang merungut bila tau batu dia tak asli. Shiaan.. kita tengok tau. Jadi, sebelum terkena baiklah berhati.. berhati..   dijalanraya ðŸ˜…. Taklah.. semasa memilih batu permata..

Sekianlah dulu. Kalau nak tau lebih, meh singgah KEDAIBATU kat Kompleks PKNS Shah Alam.

Kita jual batu permata asli dan kristal kristal gelang, tasbih.. asli suma. Yang tak asli pun ada jugak atas permintaan la. (dah.. dia minat, nak buat camana..)


#kedaibatu&co
#krafduniadesign
#kedaibatu
#batu&co
#tempahancincin
#terimatempahancincin
#batuasli
#kristalasli

* (Dengan pengecualian beberapa kes.. tak disebut disini)

Wednesday, December 21, 2016

Cerita Tentang Berlian

kredit atas gambar pinjaman 

Izinkan saya berkongsi sedikit komunikasi saya yang saya fikir baik sebagai satu maklumat. Sebelum itu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Pun M yang bertanya kerana soalan yang diajukan sangat baik dan berbentuk ilmiah.

[6:38PM, 26/01/2015]
Salam En. Naha. Saya sudah lama mencari cincin permata biru dan dalam pencarian saya itu, terjumpalah batu serai. Melalui Google saya dapat tahu Batu Serai asalnya dari pokok Serai. Betul ke? Atau sebenarnya batu sintetik macam Cubic Zirconia? Satu lagi,  boleh encik whatapps saya gambar stok cincin wanita yang berbatu biru? Kalau ada yang saya berkenan, bolehlah saya singgah beli. Sudah lama saya mencarinya..

[6:38PM, 26/01/2015]
 naha mz: Waalaikumsalam.
Terima kasih kerana sudi membaca Blog saya itu.

Mengikut jalan yang diceritakan batu serai dapatnya hasil dari mencabut pokok serai wangi yang sedang berbunga. Namun proses mencabutnya perlu dilakukan dengan beberapa amalan tertentu serta bersyarat. (Kita tangguhkan perbincangan ini ya)

Dari sudut nilai perbatuan, batu serai hanyalah dari jenis kaca, malah ia tidak tergolong dalam kumpulan sintetik. Menariknya, batu serai yang terdapat di pasaran ini datang dalam pelbagai warna dan cantik. Sesetengahnya mempunyai kilauan yang tinggi. Satu yang pasti, setiap batu serai yang dimiliki itu mempunyai cerita unik yang tersendiri dan itu lebih tak ternilai berbanding harga yang dipamerkan.

Kisah Batu Serai boleh dibaca disini : http://towkeyemas.blogspot.my/2008/09/batu-serai-1.html

Mengenai batu nilam pula, saya ada beberapa stok, insyaaAllah akan kita wassapkan.

CikPuan M boleh singgah pada bila bila masa dan tak perlu tunggu rasa berkenan dulu. Untuk CikPuan M, izinkan kami lakarkan dan buatkan satu cincin biru mengikut citarasa cikpuan sendiri. Biarkan orang lain pula yang ingin meniru design yang cikpuan M ilhamkan.

Kami yakin design yang datang dari hati sendiri itulah yang kekal dipakai bila siap nanti.. insyaaAllah.


[6:39PM, 26/01/2015]
Ok. Jadi, Batu Serai dari jenis silika lah ye? Bagaimana dengan Batu "Kulit Berlian"? Adakah itu hanya sekadar nama atau memang datang dari sebahagian berlian?


Menarik soalan ini.

Berlian ni datangnya dalam bentuk kristal seakan akan 2 bentuk piramid yang bercantum bahagian dasarnya. Namun, ada juga keadaan, dimana bentuk aslinya tidak mengikut sistem bentukan kristal sebagaimana biasa.


Image result for intan
gambar Berlian asal dipinjam dari batucincinakik.com
Bila dipotong mengikut bentuk yang dikehendaki, biasanya akan ada lebihan 'terbuang'. Ini yang dikatakan kulit berlian. Bagi tukang potong yang handal, lebihan ini pun boleh dicanai lagi untuk dapatkan berlian halus yang cantik.

Zaman dulu, kulit berlian ini adalah yang dipanggil "intan". Cuba perhatikan cincin orang lama, berliannya nampak macam berkeping keping atau kadangkala seketul seketul. Kurang berkilat serta kurang menyinar kerana tidak diberikan potongan berseginya, namun ia tetap lebih berharga dari kaca. Kulit berlian dan intan bagaimanapun, kalau diuji secara saintifik, sepatutnya dapat memberikan bacaan sama seperti bacaan sebutir berlian juga.

Salam hormat
Naharuddin Mohd Zain
Krafdunia Design
013 274 8495
naha_mz@yahoo.com

Wednesday, October 17, 2012

Sandaran

Tasbih Akek Hitam 99 butir



Batu kristal dan permata selalu kita dengar dapat digunakan bagi merawat penyakit, melancarkan perjalanan darah dan pelbagai lagi kegunaan. Kadangkala ada juga kita terdengar orang memberi komen mengenai barang perhiasan kita.

Sesuatu yang sangat menggangu pemakai cincin, batu permata atau sebarang perhiasan tanpa disedari ialah apabila kita mendengar orang mengaitkan batu2 yang kita ada dengan unsur2 kepercayaan kepada kuasa barang itu seperti; ianya untuk kebal, ini batu pelindung, ini boleh bawa luck, ini bawak rezeki dan sebagainya.

Hematite




Tak banyak sikit kata2 ini tentu terbawa2 dalam fikiran kita untuk kita uji, test, perhati batu kita tadi untuk melihat sendiri samada apa yang diungkapkan itu benar2 berlaku. Kita ingin meneliti sendiri betapa berkesannya batu kita tadi dan kononnya dengan niat hanya untuk pengesahan sahaja.

Kristal dari Gua Gunung Keriang Kedah.


Sebenarnya inilah punca gelincirnya akidah tanpa kita sedari kerana telah ada sedetik perasaan untuk melihat kuasa lain selain dari terus bersandar kepada Allah.
Batu siput adalah sebahagian dari perhiasan dari lautan


Pesanan saya ialah jangan dipedulikan apa pun yang orang akan kata mengenai batu yang kita ada atau paling baik jangan sekali2 minta pendapat mengenai "kuasa" batu daripada sesiapa jua mengenai batu kita biarpun dia mungkin mengaku dirinya pakar. Cukuplah sekadar untuk mengetahui jenis batu atau agak2 harganya. Itu pun mengenai harga ini, kalaulah batu yang kita ada ini adalah pemberian dari seseorang, dengan menanya harganya ia boleh menimbulkan satu perasaan terkilan atau mungkin kecewa sekiranya harga yang kita jangkakan tidak bertepatan dengan harga yang dinyatakan, malah jauh rendah. Sekiranya berhajat untuk mengetahui khasiat batu pula, carilah yang berkaitan dengan penyakit dan bukan khasiat yang bersifat 'Nasib'..

Batu Nesan ini dikira batu juga kah?

Pakailah perhiasan yang kita ada dengan yakin ianya membantu meningkatkan penampilan kita. Saya kira ianya begitu..

Cincin Emas Batu Kecubung untuk wanita

Friday, June 10, 2011

Batu kristal ciptaan Allah


Kristal yang dijumpai di Kristal Cave Mexico








kristal Batu Kecubung (Amethyst)


Tuesday, April 19, 2011

Blue Sapphire (Nilam Biru) vs Kyanite


Batu Nilam biru atau Safir Biru di sebelah kiri manakala Kyanite di sebelah kanan.

Saya sering ditanya orang akan batu cincin berwarna biru yang dipakainya. Pada kebanyakan masa, saya menjadi teramat serba salah untuk menjawab sekiranya orang itu memberitahu bahawa 'batu nilam'nya itu dibeli dikedai emas sekian sekian dengan harga sekian sekian sedangkan pada hakikat sebenarnya batu biru itu adalah batu Kyanite.

Oh ya, untuk nama Kyanite ni, maafkan saya kerana saya masih lagi mencari cari nama batu ni dalam bahasa melayunya, mungkin kalau ada sesiapa yang tahu dapat agaknya membantu saya nanti.. terima kasih...

Sambung lagi..Sekiranya harga yang dibayar untuk sebentuk cincin itu terlalu tinggi, itu akan menambahkan lagi rasa gusar saya untuk menjelaskan lagi perihal batu Kyanite tadi. Walaubagaimanapun biasanya saya akan cuba sebaik mungkin menceritakan mengenai kebaikan batu birunya dari kecantikannya dan dari sudut terapi dan kurang menyentuh mengenai harga kerana isu tersebut amat subjektif serta sensitif bagi sesetengah orang.

Umumnya orang akan menganggap bahawa kedua dua batu Nilan dan Kyanite adalah serupa sedangkan pada hakikatnya kedua dua batu ini adalah berbeza walaupun warnanya nampak sama iaitu biru. cuba lihat gambar kristal (hablur) kedua dua batu dalam bentuk aslinya.


Kristal Batu Nilam adalah berbentuk 2 piramid(enam segi) yang bercantum pada bahagian dasarnya



Kristal Kyanite pula berbentuk 'triclinic' yang bermaksud, asas kepada paksi kristal ini tidak tepat atau tidak simetri. Tidak mengapa kalau tak faham pun, cuma perhatikan bentuknya pun dah cukup. Nampak beza kan?

Dari segi kekerasan batu juga, kedua dua batu ini amat berbeza sekali, Batu Safir mempunyai kekerasan 9 pada skala 'Mohs' iaitu kedua selepas Berlian sedangkan Kyanite hanyalah 5 dan kadangkala 7.

Kerana itulah selalunya orang yang memakai cincin batu Kyanite akan mendapati batu cincinnya cepat pudar manakala cincin Nilam pula kelihatan sama sahaja permukaannya. Ini kerana batu Nilam adalah keras dan batu Kyanite pula lembut.

Gambar bawah ini pula adalah bentuk kristal Nilam yang dicipta dalam makmal. Ia dinamakan 'Nilam Sintetik'. Galian yang digunakan untuk membentuk kristal ini adalah sama dengan yang asli cuma proses pembentukannya dipercepatkan. Batu ini mempunyai kekerasan yang sama dan jenis inilah yang biasa digunakan sebagai cermin pada jam tangan berjenama. sebab itulah kita akan dapati jam tangan mahal jarang yang senang calar permukaannya.



Dibawah ini pula bentuk cincin pertunangan Kate Middleton berupa Nilam Biru bertahtahkan berlian dikelilingnya.



Saya pernah menerima tempahan cincin design ini seperti dibawah dan kalau ada sesiapa yang teringin boleh la menghubungi saya..hehe.

Sunday, January 9, 2011

Bentuk Kristal Batu Quartza, Topaz Dan Nilam


(Pembentukan kristal Batu Quartza)


(Pembentukan kristal Batu Nilam)


(Pembentukan kristal Batu Topaz)

Saya telah menerima balas dari pertanyaan yang lalu mengenai batu berwarna kuning yang cuba saya rungkaikan. Orang yang berusaha itu saya panggil Saudara Fahmi.. dan emailnya berbunyi seperti berikut;

Balasan dan Pertanyaan lanjut:
Salam.

Terima kasih atas ulasan daripada saudara naha.
Menurut sahabat saya yang menemui batu ini, bentuk asalnya adalah sebegitu (tidak dicanai lg). Ia ditemui di dalam seketul batu yang dipecahkan.
Warnanya kuning lemon.
Saya ada juga bertanya kepada pakar2 batu dan ada yang menyatakan:
(1) Zirconia
(2) Lemon topaz
(3) Lemon quartz
dan ada juga mengatakan Batu Serai. Hahaha~
Yg pastinya saya suka memakai permata ini kerana warnanya yg sangat 'live; dan 'shine'
Saya ingin bertanya juga kepada saudara, adakah permata-permata ini mempunyai khadam sepertimana yang digembar-gemburkan di dalam blog2 ? Dan bagaimana kita ingin tahu samada permata itu sesuai @ tidak dengan kita.

Sekian.Wallahualam

Fahmi Kadir

Jawapan saya:

Waalaikumsalam

Saudara Fahmi

Daripada penjelasan tadi saya dapai merungkaikan bahawa permata saudara adalah bukan dari kesemua batu yang telah kita senaraikan. Ini kerana struktur batu asli yang kita agak agak tadi adalah berbeza dengan permata saudara. Permata tersebut juga bukan dari kategori batu serai kerana jelas sekali dapatnya dari batu bukan pokok serai, jadi boleh kalau saudara namakan ia sebagai Batu Batu? Bagi saya ianya agak special kerana telah siap terbentuk dan tidak perlu mengubah keadaan semulajadinya. Anggap sahaja ianya anugerah dan saudara agak bertuah kerana terpilih untuk menerimanya dan bukan dari kalangan kawan kawan lain kepada sahabat saudara itu. Sebagaimana yang saya nyatakan sebelum ini, warnanya Cantik! setel.. boleh begitu? Tetapi kalau masih inginkan kepastian juga, insyaallah saya boleh bantu, cuma perlu melalui khidmat Ahli Gemologi yang menggunakan peralatan canggih.

Mengenai permasalahan 'khadam' ini pula secara terus terang saya tidak mempunyai ilmu dalam bidang itu. Apa yang boleh saya kongsikan ialah pemerhatian saya mengenai isu khadam batu ialah adanya makhluk yang mendiami batu itu atau dengan istilah lain kita kata ada 'Jin'. Batu batan dijadikan tempat tinggal makhluk samada secara asal ataupun dimasukkan oleh orang lain yang berilmu samada bomoh atau ustaz yang berpengetahuan tentang perkara ini dengan niat untuk menggunakan khidmat jin itu atau memindahkan dari tempat asal yang biasanya menggangu makhluk manusia. Sekira berasa risau carilah guru guru agama yang mahir untuk mengeluarkan Jin dari permata kita mudah mudahan tiada gangguan lain.

Yang dipanggil khadam pula ialah apabila kita memperolehi cara untuk menggunakan khidmat jin tadi untuk melaksanakan rencana atau kehendak. Ada orang ingin menampakkan dirinya bertambah menawan dengan bantuan jin ini, ada yang merasakan boleh menambah kekayaan dengan pertolongan khadam batunya malah ada orang yang merasakan dirinya kebal dengan memakai batu yang terdapat khadam tadi.

Saya tidak menolak kewujudan alam ghaib kerana kita WAJIB percaya lagi yakin kerana ini Rukun Iman tetapi bersandar kepada selain daripada Allah dalam memohon apa yang dihajati hukumnya HARAM. Namun memang menjadi keseronokan kebanyakan orang untuk mencari bahan berita seperti ini, malah tidak kurang yang tergelincir akidahnya tanpa disedari kerana mencari jalan pintas seperti ini.

Melalui rujukan yang pernah saya buat sebelum ini salah silah hukum percaya kepada bantuan khadam batu ini adalah hampir sama seperti meminum arak iaitu bukan seorang sahaja terhukum. Hukuman haram ini jatuh kepada sesiapa sahaja yang menggunakan batu berkhadam ini, yang membawa, menjual dan membeli dengan niat yang sengaja untuk menggunakan khidmat khadam tadi, atau sesiapa jua yang terlibat secara lansung menjajakan keistimewaan menggunakan khidmat khadam tadi.

Mengenai Blog blog yang berada di internet pula, saya dapati cerita cerita yang dibawa boleh dijadikan panduan kepada pembaca. Ada diantara cerita yang ditulis kadang kadang agak pelik tetapi memang menarik. Kita tidak boleh pula menolak secara terus kerana apa juga kejadian yang berlaku tidak mustahil boleh berlaku cuma yang penting ialah niat kita dalam memakai dan menggunakan permata yang kita ada.

Saya melihat batu permata saudara Fahmi itu sebagai cantik dan pakailah ia sebagai 'Pemanis' jari. Warnanay yang lembut agak sesuai dengan warna kulit orang melayu secara puratanya. Boleh jadi warnanya yang cantik ditambah pula dengan pakaian yang kena warnanya dengan cicin yang dipakai dapat memikat hati orang yang melihat dan terus dapat kotrak yang besar atau jualan yang tinggi dalam perniagaan, semua itu tidak mustahil.

Mengenai kesesuaian yang lain, apa yang saudara Fahmi boleh lakukan ialah buat sedikit ujian dan pemerhatian mengenai tahap kesabaran sewaktu memakai permata tadi. Kadang kadang ada batu yang menjana tenaga yang terlalu tinggi kepada pemakai yang berbeza dan boleh mengakibatkan seseorang menjadi sangat pemarah. Buat keputusan dari ujian tadi, namun biar saya ingatkan bahawa sifat pemarah adalah nafsu yang boleh dikawal jadi jangan pula terpedaya dengan kata kata orang lain yang mengatakan bahawa ada benda lain yang menguasai pula.

Untuk pengetahuan saudara, saya telah memasukkan pertanyaan saudara kedalam blog saya kerana saya merasakan bahawa maklumat yang saya cuba sampaikan amat bernilai untuk pembaca lain. Untuk itu saya mengucapkan terima kasih kerana saudara telah meluaskan ruang ilmu ini.

harap maklum.