Thursday, December 1, 2011

Lembutlah Wahai Hati yang Membatu



Lama saya tidak menulis.. Kerana sibuk?, leka?, lalai? Bermacam macam alasan yang diberikan, bukan hanya kepada menulis tetapi banyak lagi perkara perkara lain. Tetapi yang paling kuat rasanya ialah MALAS!, satu penyakit yang paling sukar untuk diubati selain dari hanya diri sendiri sahaja yang mampu untuk melembutkan hati yang semakin keras membatu.

Hati yang keras akan mengakibatkan nafsu menjadi semakin galak. Aktifnya nafsu pula akan menyebabkan kita lalai serta leka dalam banyak perkara sehinggakan seoalah olah menjadi lali dalam membuat kesalahan. Kalau sampai menjadi kebiasaan sehinggakan sanggup berbuat maksiat kepada Allah pula maka semakin gelap dan membekulah pula hati kita. Keraslah ia sekeras kayu yang telah menjadi batu atau 'petrified wood'.

Sempena dengan tahun baru Maal Hijrah ini, ingin sangat lah saya berhijrah dari hati yang keras tadi kepada hati yang lebih lembut, mudah melafazkan zikir zikir serta lebih rajin membaca Alquran. Semoga dengan azam baru ini akan membawa kepada jalan yang lebih diredhai lagi mendapat rahmat Allah.

Saya pernah terbaca dari satu buku mengenai perihal hati ini iaitu bahawa hati ini mempunyai 70 ribu liang, sekiranya liang liang ini tidak dibersihkan ia akan menjadi hitam dan mengeras. Hati yang keras sukar untuk mendapat hidayah dan inayah Allah. Perbanyakkan zikirullah, insyaallah ia membantu melapangkan hati yang sempit, membersihkan jiwa yang kotor dan melegakan perasaan yang gundah..